Uwais al-Qarni adalah seorang daripada kalangan tabi’in yang hidup
selepas kewafatan Rasulullah ﷺ, dan dapat bertemu dengan para sahabat. Sejak dilahirkan beliau
berpenyakit sopak dan ayahnya telah meninggal dunia. Hidupnya sangat fakir dan dalam
keadaan yatim. Ibunyalah yang menjaganya sejak
kecil sehingga beliau dewasa. Walaupun miskin, Uwais kaya dengan budi
bahasa dan amanah.
Uwais al-Qarni hanya tinggal bersama seorang ibu yang sudah tua,
buta dan lumpuh. Malah, ibu tua itu cuma bergantung harap pada Uwais untuk
menguruskan kehidupannya. Di situlah mereka dua beranak meneruskan kehidupan
tanpa ada sanak saudara. Tatkala ibunya memerlukan bantuan, Uwais tidak pernah
mengeluh dan akan menguruskan ibunya terlebih dahulu sebelum membuat perkara
lain.
Selain dikenali sebagai seorang
anak yang taat kepada ibunya. Uwais juga sangat taat melakukan ibadah, beliau seringkali berpuasa dan malam hari
masanya terisi dengan ibadah solat-solat sunat dan tahajud
kepada Allah SWT.
Rasulullah ﷺ pernah berpesan kepada
Sayyidina Umar r.a. dan Sayyidina Ali KaramAllahu
wajhah (k.w.): “Akan
lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais
al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia.
Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di
zaman kamu, carilah dia. kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa
untuk kamu berdua.”
Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali lalu
sama-sama menanyakan kepada Rasulullah S.A.W: “Apakah yang patut saya minta
daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar
Allah ampunkan dosa-dosa kalian.”
Memang benarlah kata-kata Rasulullah ﷺ Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina
Ali. Setelah puas menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman
ke Madinah, akhirnya mereka bertemu juga dengan Uwais al-Qarni.
Jika dilihat
dari pandangan mata kasar orang biasa,
Uwais al-Qarni tiada ciri-ciri istimewa kerana dari pandangan luaran beliau
seperti orang yang tidak sempurna akal dan dianggap
sebagai seorang yang kurang waras, tetapi beliau ada sesuatu yang
kita tidak ketahui..
Uwais Al-Qarni adalah seorang yang
berpenyakit sopak, badannya bertompok putih, yakni putih penyakit yang tidak
digemari. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan bapanya telah meninggal
dunia ketika dia masih kecil lagi. Walaupun beliau seorang berpenyakit sopak,
beliau adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya dan
beliau begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya dan setia menjaga ibunya
yang
sudah uzur dan lumpuh sampai beliau dewasa.
Ibunya mempunyai hajat untuk
menunaikan haji di Makkah. Namun dengan kudrat yang
sebegitu, ibu Uwais tidak mampu untuk ke Makkah berjalan
seorang diri. Lalu dia mengutarakan hasratnya kepada Uwais supaya
mengikhtiarkan sesuatu agar dia boleh dibawa ke Makkah menunaikan
haji.
Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari
perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi
menunaikan haji dari Yaman ke Makkah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang
dipasang di atasnya ‘Haudat’ iaitu sebuah rumah kecil yang diletakkan di
atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa namun harganya
mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan perbelanjaan yang sedemikian. Beliau
tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.
Pada suatu hari, ibu Uwais yang
semakin tua dan
uzur berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan
bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”
Uwais mendapat suatu ilham. Dia
membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat
sebuah pondok (rumah kecil) di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah tinggi (Dia buat
pondok untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari
beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas ‘Tilal’. Pagi
esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari ‘Tilal’ tersebut
untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia
mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan.
Perbuatan yang dilakukannya ini
menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras. Memang pelik, membuatkan
rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang
dibawa naik, pagi dibawa turun bukit.
Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang
bijak. Lembu yang asalnya hanya 20 kilogram, selepas
enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula
menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100 kilogram turun dan naik bukit setiap hari.
Selepas lapan bulan, apabila sampai musim haji, rupa-rupanya
perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan
haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Makkah dengan kedua
tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air,
roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100 kilogram boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringansekitar
50 kilogram.
Beliau membawa (mendukung dan
memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Makkah, mengerjakan
Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku
ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Makkah.
Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa
yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”
Uwais
menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa
ibu.”
Ibunya
bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu?”
Uwais menjawab: “Dengan terampun
dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga
masuk syurga.”
Ibunya berkata lagi: “Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah
SWT hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.”
Uwais berkata: “Saya keberatan
untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian
Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.”
Ibunya menambah: “Kalau ingin
masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau
berdoa.”
Akhirnya
Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais lalu
berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah SWT menyembuhkan tompok
putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu.
Namun
kerana beliau takut masih ada dosa pada dirinya, beliau berdoa: “Tolonglah
ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang tompok putih pada badanku ini
melainkan tinggalkanlah sedikit.”
Maka, Allah SWT segera
memakbulkan doanya dan menghilangkan penyakit sopak di seluruh badannya kecuali
meninggalkan setompok sebesar duit syiling di
tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini
(sopak) adalah anugerah Dan tanda itulah yang disebutkan oleh Rasulullah ﷺ kepada Saidina Umar al-Khattab
dan Saidina Ali untuk mengenali Uwais al-Qarni.
Disebut Rasulullah ﷺ kepada Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali: “Tandanya kamu nampak di
belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda
itu, dialah Uwais al-Qarni.”
Tidak lama kemudian, ibunya meninggal
dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas ibunya
meninggal, Uwais menjadi seorang yang soleh dan ditinggikan martabatnya di sisi Allah sehingga dia menjadi seorang yang doanya paling
makbul.
Apabila Sayyidina
Umar dan Sayyidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais al-Qarni dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ, mereka berdua
pun meminta supaya Uwais mendoakan supaya dosa mereka diampunkan Allah SWT.
Ketika Uwais al-Qarni berjumpa
Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali, beliau berkata: “Aku ini datang dari Yaman
ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah ﷺ kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa
dengan aku.”
Maka
Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.
S etelah itu Sayyidina Umar, yang ketika
itu memegang jawatan Khalifah, bertanya kepadanya: “Anda hendak pergi ke
mana?”
“Kufah”, jawab Uwais.
Sayyidina
Umar bertanya lagi: “Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar
melayanimu?”
Uwais
menjawab: “Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali
lebih aku sukai.”
Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang
amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di
bumi, tetapi amat terkenal di langit.
Firman Allah
SWT :
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ
إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ
“Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya tidak menyembah selain dari-Nya dan
berlaku baik kepada ibu bapa.” (Surah Al-Isra’, ayat 23)
..
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
Tidak ada komentar:
Posting Komentar